pengunjung

Sunday, July 29, 2018

HURAIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG MANFAAT – MANFAAT MEMBAWA BEKAL KE SEKOLAH



(BAHAGIAN A)
MANFAAT MEMBAWA BEKAL KE SEKOLAH
         
                 Makanan yang sihat dan seimbang amat penting kepada kesihatan mental dan fizikal para pelajar.Pengambilan makanan yang sihat dapat membekalkan tenaga yang maksimum kepada pelajar untuk lebih fokus dalam pembelajaran mereka.Kebanyakan penyediaan makanan oleh pengusaha kantin di sekolah tidak bersih,contohnya pekerja tidak menutup makanan,tidak memakai sarung tangan dan makanan yang dijual tidak seimbang.Hidangan makanan yang tidak ditutup menyebabkan serangga seperti lalat dan lipas akan mudah untuk merosakkan kualiti makanan tersebut. Sekiranya ibu bapa membekalkan makanan yang sihat kepada anak-anak mereka sendiri akan dapat menjamin kesihatan kepada generasi muda terutama pelajar sekolah dan bersesuaian dengan slogan “Negara Bersih,Rakyat Sihat”. Persoalannya,apakah manfaat membawa bekal ke sekolah?
            
                Sebenarnya , manfaat utama membawa bekal  ke sekolah adalah akan dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian pelajar . Hal ini demikian kerana , kita dapat menyimpan wang saku yang diberi oleh ibu bapa kerana kita tidak perlu membeli makanan di kantin lantaran kita telah membawa bekalan dari rumah . Duit tersebut boleh disimpan di dalam tabung untuk digunakan bagi tujuan perkara lain . Kita juga dapat meringankan beban ibu bapa . Dengan membawa bekal ke sekolah juga kita dapat merealisasikan amalam menabung dalam kehidupan seharian . Demi memenuhi tuntutan pada zaman milenium ini , kos kehidupan dijangka semakin meningkat dan memerlukan kebestarian akal dalam menghadapinya , bak kata pepatah ' Ingat sebelum kena , jimat sebelum habis ' . Jelaslah bahawa dengan mengamalkan membawa bekal ke sekolah, kita dapat menjimatkan kos perbelanjaan harian yang merupakan manfaat utama kepada seseorang pelajar .
           
               Selain itu, manfaat lain yang diperoleh daripada membawa bekal ke sekolah ialah kita dapat menjamin kebersihan makanan. Hal ini demikian kerana dengan membawa bekal ke sekolah kita dapat mengelakkan berlakunya keracunan makanan kerana mencegah lebih baik daripada mengubati. Dalam konteks ini, bekalan makanan itu terjamin bersih kerana dimasak oleh ibu bapa di rumah. Sebagai contoh, ibu bapa akan menyediakan bekalan yang berkhasiat dan bersih supaya tidak akan ada gangguan penyakit seperti sakit perut dan proses pembelajaran anak-anak mereka berjalan lancar. Sekiranya, kebersihan penyediaan makanan tidak dititikberatkan sudah pasti dibimbangi berlakunya kes keracunan makanan seperti yang pernah terjadi di Sekolah Rendah Pekan Kota Marudu yang melibatkan seramai 32 orang murid terbabit dihantar ke Hospital Kota Marudu selepas menunjukkan simptom sakit perut, muntah, loya dan pening kepala. Jelaslah bahawa kebersihan makanan amatlah penting untuk menjamin kesihatan diri agar setiap pelajar dihindari penyakit yang boleh menjejaskan kualiti pembelajaran mereka di sekolah.
               
               Seterusnya, makanan yang dibawa ke sekolah dapat mematuhi keperluan vitamin yang secukupnya. Pengambilan vitamin yang secukupnya dapat membuatkan murid-murid kekal bertenaga dalam mengharungi pembelajaran di sekolah pada setiap hari. Pelbagai vitamin dapat diserap oleh badan pelajar-pelajar seperti vitamin A,C,D dan sebagainya untuk mengelakkan murid-murid daripada mengantuk dan tidak fokus dalam kelas. Sebagai contoh, makanan yang dibekalkan oleh ibu bapa di rumah mengikut piramid makanan seimbang kerana mempunyai karbohidrat, sayur-sayuran, buah-buahan dan protein yang secukupnya. Sekiranya pengambilan vitamin tidak diambil dengan secukupnya, masalah kesihatan dan keadaan pelajar di dalam kelas menjadi tidak terurus. Oleh hal yang demikian, pelajar akan menghadapi masalah kesihatan dan pembelajaran apabila hal ini tidak dititikberatkan, bak kata pepatah,'nasi sudah menjadi bubur'. Benarlah kata-kata James H.West,"Kesihatan tidak hanya tubuh, tetapi fikiran dan jiwa juga menjadi kesenangan". Tegasnya, membawa bekalan ke sekolah dapat menyediakan vitamin yang secukupnya untuk kesihatan tubuh badan para pelajar yang seterusnya memberi impak yang cemerlang dalam bidang akademik mereka.
            
                  Konklusinya, banyak manfaat jika kita  membawa bekal ke sekolah. Oleh itu,amalan yang baik ini haruslah diterapkan dalam diri semua pelajar supaya kita semua memperoleh manfaatnya. Ibu bapa seharusnya peka akan kepentingan dalam menyediakan bekal kepada anak-anak. Badan yang sihat menjamin minda yang cerdas . Ibu bapa haruslah memupuk amalan gaya hidup sihat ini kepada anak-anak sejak dari kecil lagi supaya menjadi amalan yang biasa, bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Ibu bapa yang menginginkan kejayaan anak-anaknya haruslah melakukan  pelbagai usaha yang proaktif seperti menyediakan bekal ke sekolah dan kata-kata tokoh Filsut Tao sangat sesuai digunakan sebagai panduan iaitu Jika kita mahu hidup setahun tanamlah gandum, jika kita mahu hidup sepuluh tahun tanam lah pokok dan jika kita mahu hidup selama- lamanya tanamlah jiwa manusia.


DARIPADA PELAJAR 5PA2 2018
                                   
                                         MASA ITU EMAS

Salah satu nilai murni yang perlu dimiliki oleh golongan pelajar ialah kegigihan. Jelaskan cara nilai ini membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan.



    BAHAGIAN B

                Pada zaman yang semakin berkembang pesat ini,negara kita memerlukan para remaja yang berjaya bagi menerajui kepimpinan negara suatu masa nanti dan seterusnya untuk menjamin kemajuan dan kemakmuran negara.Dengan itu,para remaja contohnya pelajar perlu mempunyai pelbagai nilai murni dalam diri untuk melestarikan impian negara.Memetik kata-kata presiden Soekarno,"Jika kamu ingin melihat masa hadapan sesebuah negara ,lihatlah para pemudanya pada hari ini".Dalam konteks ini,para pelajar perlu menerapkan nilai kegigihan dalam diri mereka untuk mencapai kecemerlangan. Sesungguhnya,para pelajar pada hari ini perlu gigih berdepan dengan pelbagai cabaran terutamanya dalam bidang akademik.Jadi,nilai kegigihan perlu diserap ke dalam diri mereka sejak dari kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya.Persoalannya,bagaimanakah cara nilai kegigihan ini membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan?
                 
          Sebenarnya, nilai kegigihan yang efektif bagi golongan pelajar untuk mencapai kecemerlangan ialah kegigihan dalam menuntut ilmu. Hal ini demikian kerana dengan menuntut ilmu secara gigih pelajar akan memperoleh banyak ilmu pengetahuan selain mereka akan berjaya mencapai cita-cita. Dalam konteks ini, pelajar perlulah rajin berusaha dengan mengulang kaji pelajaran setiap masa dan membuat latihan secara bertubi-tubi bagi semua subjek. Benarlah kata Tun Dr Mahathir Mohamed pelajar akan berjaya jika gigih berusaha kerana "Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang tidak malas berusaha". Sebagai contoh, pelajar mestilah gigih mentelaah buku-buku yang menjadi rujukan mereka dan sentiasa bertanya kepala guru tentang soalan yang tidak difahami. Sekiranya pelajar malas berusaha untuk menuntut ilmu sudah pasti masa depan pelajar tidak terjamin dan sudah terlambat untuk menyesali pada kemudian hari kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tiada guna. Jelaslah bahawa kegigihan dalam menuntut ilmu amatlah penting kepada golongan pelajar untuk kepentingan masa depan mereka bagi membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan.

 Skop perbincangan dialihkan pula ke arah nilai kegigihan dalam mendisiplinkan diri yang merupakan aspek penting dan perlu dititikberatkan oleh golongan pelajar.Hal ini demikian kerana,mendisiplinkan diri merupakan faktor utama yang membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan.Setiap pelajar hendaklah gigih dalam mendisiplinkan diri mereka supaya setiap urusan dapat dikendalikan dengan berkesan dan tidak seperti menjadi `sudah terhantuk baru tengadah'.Sekiranya golongan pelajar berdisiplin cekap dengan bijak dalam menguruskan masa sudah pasti mereka akan menjadi para pelajar yang cemerlang. Masa merupakan perkara penting bagi setiap pelajar yang mengimpikan kecemerlangan dalam hidup mereka. Antara usaha yang dapat dilakukan oleh setiap pelajar dalam usaha mendisiplinkan diri adalah dengan mematuhi setiap peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak sekolah. Seandainya golongan pelajar tidak gigih dalam mendisiplinkan diri,sudah tentu mereka akan dipinggirkan seperti`melukut ditepi gantang' dan mudah terlibat dalam pelbagai kebejatan sosial  seperti ponteng sekolah dan pergaduhan dalam kalangan mereka. Pihak sekolah juga akan mendapatkan impak negatif daripada sikap  para pelajar ini. Jelaslah bahawa nilai kegigihan dalam mendisiplinkan diri akan menjadikan golongan pelajar lebih bijak dalam memilih hala tuju kehidupan mereka bagi membolehkan mereka mencapai kecemerlangan di peringkat dunia.

 Perbincangan kita  dikembangkan dengan merungkai nilai kegigihan dalam menjauhkan diri  daripada terpengaruh dengan media sosial yang negatif. Apabila seseorang pelajar menjarakkan diri mereka daripada terpengaruh dengan media sosial, sudah tentulah mereka dapat meluangkan masa mereka dengan membuat kerja rumah yang diberikan oleh guru tanpa sebarang gangguan. Selain itu, setiap pelajar juga harus berpada-pada dalam melayari laman sosial yang negatif terutamanya aplikasi Whatsapp, Facebook, Instagram dan lain-lain. Hal ini  dapat menyebabkan mereka terlalu leka. Dengan itu, mereka akan membazirkan masa belajar mereka dengan sia-sia, bak kata pepatah " masa itu emas" . Seorang pelajar perlulah gigih dalam menjarakkan diri dalam media sosial supaya pelajaran mereka tidak akan terganggu. Sebagai contoh, jika seseorang pelajar tidak terlalu terpengaruh dengan media sosial, mereka dapat membahagikan masa belajar mereka dengan sebaik-baiknya. Memetik kata Tun Dr. Mahathir Mohamed " Bangsa yang berjaya ialah bangsa yang tidak malas berusaha. Bukan itu sahaja, jika kita terjebak dalam media sosial, kita akan menimbulkan fitnah melalui maklumat-maklumat palsu yang telah disebarkan. Tegaslah bahawa, setiap golongan pelajar haruslah menjauhkan diri daripada terpengaruh dengan media sosial yang negatif untuk membolehkan pelajar mencapai kecemerlangan dalam pembelajaran.
                
                 Di samping itu,kegigihan dalam menjaga hubungan baik sesama insan perlulah ada dalam diri kalangan pelajar dalam usaha mencapai kecemerlangan setiap pelajar serta mencapai masa depan yang lebih cemerlang.Pelajar haruslah saling menjaga hubungan yang baik antara satu sama lain agar tidak berlaku perbalahan yang dapat meruntuhkan hubungan silatirahim dalam kalangan pelajar di sekolah.Mereka hendaklah hidup dalam keadaan bermuafakat.bak kata pepatah,"ke gunung sama didaki,ke lurah sama dituruni".Sebagai contoh,pelajar mestilah menghormati guru dan rakan-rakan agar tidak timbul perselisihan faha, antara pelajar dan pelbagai pihak di sekolah. Jika nilai ini tidak diambil cakna oleh para pelajar seseorang itu mungkin tidak akan dapat memberikan sepenuh perhatian terhadap pembelajaranya. Dalam konteks ini, dengan menjaga hubungan baik sesama insan juga dapat meluaskan lagi rezeki. Memetik hadis riwayat bukhari dan muslim,"sesiapa yang inginkan rezekinya diluaskan dan dipanjangkan usianya, maka jalinkan hubungan silaturahim ( dengan insan )". Tegasnya, kegigihan dalam menjaga hubungan sesama insan merupakan nilai murni yang perlu dimiliki oleh golongan pelajar untuk mencapai kecemerlangan.
                
         Di samping itu, nilai murni yang perlu dimiliki oleh pelajar untuk mencapai kecemerlangan ialah kegigihan beribadat kepada Allah . Hal ini kerana dengan beribadat kepada Allah , pelajar akan mendapat keredhaan dan keberkatan dalam menuntut ilmu. Jika seseorang pelajar ingin berjaya haruslah mendesiplinkan diri dengan Allah . Sebagai contoh tidak meninggalkan solat lima waktu walaupun sibuk dengan rutin harian. Kajian menunjukkan sengan beribadat kepada Allah seseorang itu akan berjaya. Azali Azlan ialah contoh pelajar yang berjaya mendapat 21A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)  dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Yan yang dapat menjadi idola kepada pelajar untuk berjaya. Rahsianya ialah beliau selalu mendekati diri dengan Allah . Jika seseorang pelajar tidak melanggar perintah Allah nescaya hidup akan lebih aman dan jiwa tenang untuk menimba ilmu . Saidina Ali Karamallah pernah menyatakan  bahawa “Ilmu ibarat barang dagangan yakni apabila dibelanjakan dan diperdagangkan pasti akan bertambah. Sebaliknya harta pula apabila diperdagangkan semakjn berkurang “. Sesungguhnya , sebagai seorang pelajar, kita haruslah gigih beribadat kepada Allah untuk mencapai kecemerlangan dalam segenap bidang.
                
           Konklusinya, nilai kegigihan haruslah diterap dalam diri pelajar supaya mereka akan menjadi insan yang berjaya dalam pembelajaran mereka. Pernyataan ini bersesuaian dengan peribahasa usaha tangga kejayaan dan hadis nabi yang bermaksud “Tuntutlah ilmu sampai ke negeri China”. Dengan mengamalkan nilai kegigihan dalam sesuatu pekerjaan sudah pasti semua perkara seperti kerja  sekolah dapat disiapkan dengan sempurna. Sebagai contoh , pelajar yang gigih akan menyiapkan kerja yang sering diberikan oleh semua guru subjeknya walaupun mereka sentiasa sibuk dengan pelbagai aktiviti. Oleh itu, untuk berjaya dalam pembelajaran setiap pelajar mestilah gigih bagi membolehkan mereka mencapai kejayaan yang diharapkan oleh ibu bapa dan guru mereka, bak kata pepatah jika tidak dipecahkan ruyung, manakan dapat sagunya.

DARIPADA PELAJAR 5PA2 2018
                                            USAHA TANGGA KEJAYAAN 

CARA PENGIKLANAN YANG BERKESAN MENYEBABKAN MASYARAKAT HARI INI GEMAR MENGAMBIL MAKANAN TAMBAHAN. JELASKAN KESAN-KESAN PENGAMBILAN MAKANAN TAMBAHAN

BAHAGIAN B

Belakangan ini kita tidak dapat lari dari iklan. Iklan juga amat penting untuk mewara-warakan kepada masyarakat tentang sesuatu produk terbaru yang ada di pasaran. Iklan melalui kaca televisyen merupakan satu saluran yang begitu efektif dan mampu mengumpul pembeli dalam waktu yang singkat. Kebijaksanaan tektik pemasaran dalam mempengaruhi masyarakat adalah dengan menggunakan pelbagai cara seperti elemen wanita dan jejaka yang jelita dan tampan dalam iklan produk makanan tambahan. Iklan tersebut sudah pasti akan menarik perhatian masyarakat dan kesannya akan melekat di hati mereka untuk jangka masa yang panjang. Cara iklan tersebut telah menyebabkan masyarakat pada masa ini mengambil makanan tambahan dengan menjangkakan banyak manfaat yang diperoleh melalui pengambilan makanan tambahan tersebut tanpa mengambil tahu kesan-kesannya. Hal ini demikian kerana, kesihatan amat penting dan tidak boleh diganti dengan nilai wang kerana manusia yang paling kaya dalam dunia pun tidak boleh membeli kesihatan bak kata pepatah,'sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna’. Demikian juga dengan sepotong ungkapan dalam lima perkara terpenting daripada hadis Rasulullah S.A.W yang bermaksud,"Jagalah masa sihatmu sebelum datang masa sakit". Persoalannya, apakah kesan-kesan pengambilan makanan tambahan terhadap kesihatan masyarakat?
    
         Sebenarnya ,implikasi prima pengambilan makanan tambahan adalah akan membekalkan tenaga selain menguatkan sistem pertahanan badan.Sebagai asas analoginya,makanan harian setiap individu kebanyakan tidak mencukupi khasiat yang diperlukan oleh badan. Bagi membuktikan hal ini ,masyarakat pada masa kini sangat teruja mengamalkan pemakanan secara sihal. Hal ini demikian kerana dengan pengambilan makanan tambahan akan dapat membantu kita membekalkan tenaga dan menguatkan sistem pertahanan badan. Kajian menunjukkan dengan pengambilan makanan tambahan seperti vitamin c dari kapsul keluaran Rexdozon dianggapkan dapat mengurang gejala pengakit selsema dan mengurang komplikasi gejala resdung. Tiada penyakit yang tiada penawar , justeru tiada masalah yang tanpa penyelesaian, kita perlu berikhtiar mancari jalan supaya dapat membendung diri daripada mendapat pelbagai penyakit agar kita dapat menjalanu kehidupan harian yang lebih baik . Kata - kata Aiten Specter sangat sesuai dijadikan panduan iaitu tidak ada yang lebih penting daripada kesihatan yang baik , iaitu aset utama kita . Sesungguhnya ,dapat menambahkan tenaga adalah kesan utama daripada makanan tambahan untuk masyarakat pada masa kini .
    
         Kesan kritikal yang lain dalam pengambilan makanan tambahan adalah akan meningkatkan tumbesaran badan.Hal ini demikian kerana melalui pengambilan makanan tambahan,akan dapat membantu proses pembetukan sel-sel baharu dalam badan.Dalam konteks ini,makanan tambahan mengandungi pelbagai jenis vitamin yang dapat membantu pertumbuhan seseorang.Sebagai contoh,pengambilan vitamin C dapat menahan pelbagai penyakit alahan udara.Sekiranya kita tidak mengambil makanan tambahan dibimbangi pelbagai penyakit berjangkit akan mudah tersebar.Pada hal ini setiap individu perlu menghadkan pengambilan makanan berat seperti nasi putih bagi memberi ruang kepada makanan tambahan kerana pengambilan makanan yang berlebihan akan memudaratkan kesihatan sebagaimana sabda nabi Muhammad SAW yang bermaksud "Kami tidak makanan kecuali kami lapar dan berhenti sebelum kenyang".Pendek kata,kita mestilah mengamalkan pengambilan makanan tambahan supaya hidup kita terjamin.Jangan sampai sudah terhantuk baru hendak menengadah.


          Lensa perbincangan kita dialihkan pula ke arah skop kesan baik pengambilan makanan tambahan dalam kehidupan seharian . Antara kesan baiknya yang diiklankan oleh pengusaha produk adalah akan dapat menguatkan minda dan ingatan seseorang . Hal ini demikian kerana , makanan tambahan mengandungi pelbagai vitamin dan bahan-bahan yang dikawal oleh pakar yang diiktiraf . Daya ingatan yang baik dapat menjadikan kita seorang yang berfikiran terbuka dan boleh menerima kemajuan dan janganlah menjadi seperti ' sepuluh jong maduk kuala anjing tetap bercawat ekor ' . Natijahnya daripada pengambilab makanan tambahan akan menjadikan seseorang yang lebih menepati masa kerana mempunyai daya ingatan yang tajam .  Seorang falsafah Yunani pernah berkata ' Masa ialah penasihat yang bijaksana ' . Sekiranya tidak mengambil makanan seperti ini , sudah tentu daya ingatan kita akan lemah dan sukar mengingati perkara yang dipelajari .
    
            Sebagaimana yang kita sedia maklum pengambilan makanan tambahan juga menjadi punca atau penyebab yang mudah untuk seseorang individu tersebut mendapat pelbagai jenis penyakit kronik seperti buah pinggang kanser,darah tinggi,diabetes dan sebagainya. Walau bagaimanapun, individu sekarang tidak mengendahkan kesan buruk yang akan mereka alami sekiranya mengambil makanan tambahan seharian secara tidak terkawal. Sebagai contoh,individu yang mengambil makanan tambahan tidak meminum air kosong yang secukupnya iaitu sekurang - kurangnya lapan gelas sehari. Dalam hal ini, pengambilan makanan yang sesuai sangat  penting kerana Tun Dr. Mahathir pernah berkata jagalah kesihatan badan dari usia muda lagi dan jangan makan makanan secara berlebihan. Seandainya, seseorang individu mengambil makanan tambahan dengan terkawal sudah pasti penyakit kronik seperti penyakit buah pinggang akan dapat dielakkan seperti slogan yang dicipta oleh Kementerian Kesihatan Malaysia 'mencegah lebih baik daripada merawat'. Tambahan lagi,Kementerian Kesihatan Malaysia pernah membuat kempen - kempen kesihatan di dalam televisyen dan laman sosial. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia juga sering mengedarkan risalah untuk menyedarkan penduduk setempat. Kesimpulannya, pengambilan makanan tambahan yang berlebihan juga tidak digalakkan untuk diamalkan dalam kehidupan seharian. Hal ini demikian kerana makanan tambahan mengandungi banyak lemak,kolestrol dan sebagainya. Sebagai contoh daging,ayam serta makanan yang berminyak.
      
          Titik fokus perbincangan kita akan dialihkan pula kepada konteks keberkesanan pengambilan makanan tambahan ekoran daripada cara pengiklanan yang berkesan. Kesan negatif pengambilan makanan tambahan adalah akan menyebabkan pembaziran wang. Masyarakat hari ini seharusnya mengurangkan pengambilan makanan tambahan dan hendaklah mempunyai kesedaran untuk membentuk gaya hidup sederhana daripada terlalu bermewah-mewah. Selain itu, masyarakat kini juga tidak lagi mahu menabung kerana sering menggunakan wang belanja untuk membeli makanan tambahan. Sebagai contoh, wang belanja yang berlebihan boleh disimpan untuk kegunaan masa hadapan, bab kata pepatah " sikit-sikit, lama-lama jadi bukit " . Di samping itu, dengan pengambilan makanan tambahan secara berlebihan, kesihatan masyarakat juga akan terjejas. Nabi Muhammad pernah bersabda, " Jauhilah sesuatu yang memudaratkan " . Bukan itu sahaja, cara pengiklanan yang berkesan seperti promosi yang berbentuk tipu daya juga dapat menyebabkan pengambilan makanan tambahan seperti menjual pil kurus yang dapat menyebabkan penyakit buah pinggang. Sudah terang lagi bersuluh, pengambilan makanan tambahan akan menyebabkan pembaziran wang dalam kalangan masyarakat.

                Kesimpulannya, setiap golongan masyarakat perlulah bijak menilai keberkesanan pengambilan makanan tambahan walaupun disogok dengan pelbagai cara pengiklanan yang merambangkan mata. Jangan mudah terpengaruh. Jadikanlah diri kita seorang pengguna yang bijak dan bertanggungjawab dengan meneliti terlebih dahulu sesuatu produk itu sebelum digunakan kerana jika tersalah pilih akan mendatangkan kesan yang negatif kepada diet pemakanan kita. Jika dilihat daripada sudut yang berbeza, pengambilan makanan yang tidak terkawal atau berlebihan akan memberikan kesan negatif kepada kesihatan seseorang pengguna. Hal ini demikian kerana makanan tambahan seperti vitamin mengandungi bahan kimia yang terkawal. Selain itu, pengambilan makanan berlebihan dapat memberikan kesan yang buruk seperti penyakit buah pinggang, diabetes, dan lain-lain lagi. Walau bagaimanapun pengambilan makanan tambahan yang mencukupi, dapat melancarkan peredaran darah dan kecerdasan otak. Oleh itu, kita mestilah mengamalkan pemilihan pengambilan makanan tambahan yang sesuai untuk menjamin kesihatan diri, keluarga dan negara. Namun begitu, tepuk dada tanyalah selera. Amalan pengambilan makanan tambahan perlulah dijaga agar dapat memberi kesan yang positif dan menyihatkan tubuh badan kita dan bersesuaian dengan pantun di bawah.
Ikan di air terlihat-lihat
Ikan bernama si ikan laga
Amalkan gaya hidup sihat
Makanan tambahan hendaklah dijaga

SELAMAT MAJU JAYA DARIPADA PELAJAR 5PA2 2018




Tuesday, February 6, 2018

Perkembangan sektor pertanian dapat menambahkan pendapatan negara, membuka peluang pekerjaan dan meningkatkan imej negara di mata dunia. Huraikan pernyataan tersebut.



Makanan merupakan keperluan asas dalam kehidupan seharian manusia. Majoriti makanan adalah bersumberkan daripada hasil pertanian sebagaimana kita boleh mengambil contoh negara Thailand yang merupakan pengeksport beras dan buah-buahan yang terbesar di dunia selain negara Australia terkenal dengan hasil tenusu yang segar. Sesungguhnya industri pertanian amat vital bagi semua negara dalam menjamin kesejahteraan rakyat dan kestabilan ekonomi negara. Sektor pertanian juga pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir Mohamed melalui dasar perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan, Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingan industri pertanian tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara sehingga mendesak kerajaan untuk memajukannya?
Sebenarnya, terdapat beberapa kesan positif yang diperoleh melalui perkembangan industri pertanian kepada sesebuah negara sama ada yang kita sedar atau tidak. Implikasi utama yang dapat kita lihat dalam industri pertanian dalam negara kita adalah untuk menambahkan pendapatan negara. Dalam menyahut seruan perdana menteri kita untuk mencapai gelaran negara maju menjelang tahun 2050, rakyat Malaysia mestilah mempunyai gaji minimum sekurang-kurangnya dua ribu sebulan dek kos sara hidup yang bergerak sehaluan dengan kemodenan negara yang semakin maju. Indutri pertanian dapat menaikkan pendapatan negara kerana hasil lebihan daripada hasil pertanian tersebut dapat kita eksport ke negara luar. Sebagai contoh, hasil lebihan buah mangga harumanis dapat kita eksport ke negara luar seperti Singapura dan Brunei. Selain itu, buah kelapa sawit di negara Malaysia dieksport ke negara luar kerana buah sawit kita mempunyai kawasan pertanian yang luas serta iklim yang sesuai untuk menanam pokok tersebut. Permintaan terhadap buah kelapa sawit semakin meningkat dari semasa ke semasa kerana kegunaannya sebagai minyak masak sangat ketara dalam sector perniagaan makanan.Permintaan yang tinggi terhadap kelapa sawit ini telah membantu meningkatkan pendapatan penduduk tempatan yang mengusahakan perusahaan penanaman kelapa sawit ini.Kerajaan mestilah menyeru para petani tempatan untuk mengusahakan penanaman kelapa sawit ini kerana dapat mendatangkan keuntungan yang lumayan bukan sahaja kepada petani malahan terhadap ekonomi negara juga.Tun Dr Mahathir pernah berkata ‘rebutlah peluang yang ada, sebelum peluang itu dirampas’ kata-kata itu jelas menunjukkan bahawa kita mestilah merebut peluang yang ada untuk memajukan diri kita.Para petani juga mestilah berkerja bersungguh-sungguh untuk mendapatkan hasil yang berkualiti bak kata pepatah alang-alang mandi biar basah.Jelaslah bahawa melalui sektor pertanian seperti penanaman kelapa sawit ini dapat menambah pendapatan negara dan  petani yang mengusahakan industri tersebut.
Mari kita capahkan skop perbincangan kita ke arah yang berbeza iaitu perkembangan industri pertanian juga dapat mempelbagaikan industri asas tani di sesebuah negara seperti bahan perabot, makanan, alat tulis dan sebagainya. Pada zaman ini, manusia sejagat telah mencipta pelbagai teknologi moden yang dapat membantu negara mereka dalam perusahaan industri pertanian dan juga industri asas tani kerana Allah SWT telah berfirman mafhum-Nya “Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu melainkan kaum itulah yang mengubah nasib mereka sendiri.” Dengan perkembangan teknologi ini, sesebuah negara itu mampu menghasilkan pelbagai produk baharu daripada sumber-sumber pertanian. Sebagai contoh, negara Jepun telah menanam pokok Pain dalam kuantiti yang banyak dan menggunakan tumbuhan tersebut untuk dijadikan bahan perabot seperti papan lapis. Kesannya, masyarakat negara Jepun tidak perlu bergantung kepada hasil dari negara lain untuk mendapatkan bahan perabot tersebut. Sekiranya evolusi industri pertanian tidak berlaku, maka negara tersebut tidak akan mampu untuk mengeluarkan pelbagai jenis hasil pertanian dan industri asas tani juga tidak akan dapat berkembang dengan pesat ekoran daripada kekurangan jenis hasil pertanian yang dikeluarkan oleh negara tersebut. Dengan ini, indsutri pertanian dan industri asas tani di negara tersebut akan menjadi mundur selain rakyat di negara tersebut terpaksa bergantung kepada produk yang dihasilkan oleh negara luar untuk memenuhi keperluan masing-masing. Jelaslah bahawa industri asas tani di sesebuah negara itu dapat dipelbagaikan sekiranya industri pertanian di sesebuah negara itu berkembang dengan maju kerana berbudi kepada tanah, tanah tidak tipu.
Ayuh kita alihkan skop perbincangan kita ke arah kelebihan perkembangan industri pertanian iaitu akan membuka peluang pekerjaan kepada seantero masyarakat di sesebuah negara. Sektor pertanian telah memberi nafas baru kepada rakyat di seluruh pelosok dunia terutamanya golongan kurang berpendidikan dalam usaha membasmi kadar pengangguran. Secara holistiknya, rata-rata negara maju di dunia seperti Amerika Syarikat, Australia , China dan Jepun mempunyai kejayaan yang cemerlang dalam industri pertanian rentetan 50% sumber pendapatan mereka berpunca daripada hasil pertanian. Sebagai contoh, Australia telah memegang tampuk sebagai pengeksport hasil pertanian terbesar di dunia seperti epal, anggur, nanas, gandum dan tebu sejak tahun 1994. Permintaan yang tinggi di pasaran memerlukan kerahan tenaga yang ramai untuk menjana pendapatan eksport pertanian bernilai tinggi. Ekoran daripada itu, rakyat Australia mengimplementasikan peluang tersebut untuk menceburkan diri dalam bidang pertanian bermula dari usia yang muda lagi. Jika ditelusuri dengan lebih mendalam, kebanyakan rakyat Australia telah mencapai kejayaan yang membanggakan dalam bidang pertanian sehingga bergelar seorang jutawan pada usia yang muda. Selain itu, pengaruh industri pertanian di Malaysia tidak kurang hebatnya juga. Buktinya, sektor pertanian menjadi tunjang kekuatan ekonomi negara dan menjadi penyumbang terbesar pendapatan negara di samping mewujudkan banyak peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan mahupun rakyat luar negara.  Peluang pekerjaan semakin bertambah apabila lebih banyak bidang pertanian diterokai di sesebuah negara, contohnya projek-projek yang ditubuhkan di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia memerlukan sumber manusia yang ramai untuk menguruskannya dengan efektif dan pragmatik. Sekiranya masyarakat di seluruh dunia memandang enteng terhadap kepentingan perkembangan industri pertanian yang membuka peluang pekerjaan kepada penduduk , sudah tentu industri pertanian di sesebuah negara itu tidak mampu berkembang maju dalam jangka masa yang panjang kerana Charles Cahier pernah berkata, “Kejayaan tidak akan datang kepada manusia yang leka.” Tegasnya, masyarakat dunia perlu memanfaatkan industri pertanian yang diibaratkan bulan jatuh ke riba kerana menyediakan banyak peluang pekerjaan untuk memastikan sektor pertanian bergerak seiring dengan sektor-sektor yang lain sekali gus mengukuhkan ekonomi sesebuah negara.
Mari kita capahkan lensa perbincangan kita ke arah yang lebih mendalam iaitu meningkatkan imej negara.Kita sememangnya tidak dapat menafikan bahawa sesebuah negara yang maju perlu menitikberatkan semua bidang terutamanya sektor pertanian. Hal ini demikian kerana,sektor pertanian merupakan pemangkin dalam membekalkan semua bekalan makanan dan pendapatan negara.Oleh itu,sesebuah negara mestilah mengambil peluang keemasan ini untuk menaiktaraf industri pertanian dengan memanfaatkan bahan mentah sebaik-baiknya. Sebagai contoh, negara Thailand terkenal dengan teknik kejuruteraan genetik iaitu dengan mengacuk pelbagai jenis tanaman untuk menghasilkan baka yang berkualiti tinggi. Keistimewaan cara ini telah mengangkat Thailand sebagai pelopor dalam industri pertanian sekali gus meningkatkan imej negara tersebut di persada antarabangsa. Pembaharuan yang dicetuskan oleh Thailand amatlah bersesuaian dengab kata-kata tokoh Dale Carnegie "Orang yang takut dengan pembaharuan tidak akan maju dalam kehidupan". Seandainya sektor industri pertanian ini dipandang enteng oleh pihak kerajaan dalam sesebuah negara pastinya negara tersebut tidak akan diiktiraf sebagai negara yang terkenal dengan kemajuan sektor pertanian. Sudah terang lagi bersuluh, pihak kerajaan dan masyarakat perlu bekerjasama bagai aur dengan tebing dalam memastikan negara mereka mampu bersaing dengan negara-negara maju yang lain agar imej negara terukir di mata dunia.
Beralih ke arah skop yang lebih menarik, perkembangan industri pertanian juga sebenarnya dapat memastikan bekalan makanan dunia sentiasa mencukupi. Malaysia merupakan salah satu negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Walaupun negara kita turut menanam padi, namun kadar pertumbuhan penduduk yang semakin pesat telah menyebabkan kita masih bergantung kepada pengeluaran beras daripada negara luar seperti Thailand untuk menampung permintaan yang tinggi dalam kalangan rakyat. Umum mengetahui bahawa Thailand memegang tampuk pengeluar dan pengeksport hasil pertanian yang terbesar di dunia sejak sekian lamanya. Hasil pertanian daripada Thailand telah menjadi bualan masyarakat dunia kerana kualitinya yang terjamin dan kesegaran hasil pertaniannya. Sebagai contoh, Malaysia sering mengimport buah-buahan daripada negara asing yang lain seperti Thailand, Amerika Syarikat, China dan India kerana terdapat sesetengah buah yang kurang sesuai untuk ditanam di sini. Hal ini menyebabkan kita perlu bergantung harap kepada negara lain untuk menikmati buah-buahan yang tidak ditanam di Malaysia. Seandainya industri pertanian tidak dimajukan, sudah pasti bekalan makanan dunia akan berkurangan dan boleh membawa kemudaratan kepada manusia sejagat.Kekurangan bahan makanan ini akan menjejaskan harga bahan makanan dalam pasaran dunia yang pastinya akan melambung tinggi akibat sikap pengusaha yang mengambil kesempatan dalam kesempitan. Keadaan ini akan menyebabkan negara mengalami inflasi. Mantan Perdana Menteri kita yang kelima, Tun Haji Abdullah bin Haji Ahmad Badawi pernah berkata bahawa "Tidak harus wujud tanggapan bahawa kerajaan berundur ke belakang apabila mahu pertanian diutamakan". Oleh hal yang demikian, masyarakat perlu berganding bahu memajukan industri pertanian yang selama ini dipandang enteng oleh segelintir pihak. Sudah terang lagi bersuluh bahawa kemajuan dalam sektor pertanian dapat memastikan bekalan makanan dunia mencukupi agar masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang harmoni.
Konklusinya, terdapat pelbagai kesan positif yang diperoleh daripada perkembangan industri pertanian bagi sesebuah negara. Oleh yang demikian, tidak hairanlah negara - negara dari empat penjuru dunia saling bersaing antara satu sama lain untuk menaiktarafkan industri pertanian di negara masing - masing melalui ciptaan teknologi moden yang serba guna. Dalam konteks ini, semua pihak di setiap negara perlulah memvariasikan hasil pertanian supaya pelbagai produk asas tani yang digemari seluruh masyarakat di dunia dapat dihasilkan dengan lebih meluas. Memetik kata - kata tokoh filosof agung Cina, Lao Tze, " Perjalanan seribu batu bermula dengan langkah yang pertama" jelas menunjukkan bahawa industri pertanian di sesebuah negara dapat dikembangkan sekiranya semua pihak di negara tersebut mengembleng tenaga dan usaha bagi memajukan industri ini kerana rezeki secupak tidak akan jadi segantang.

SELAMAT MAJU JAYA

GKBS SMKT 2018


Anda telah menyertai pertandingan syarahan di sekolah. Tajuk syarahan anda ialah “Peranan ibu Bapa untuk Menangani Gejala Sosial dalam Kalangan Remaja.” Tulis teks syarahan anda itu selengkapnya.




                  Yang Mulia Tuan Pengerusi Majlis,Yang Berusaha Pengetua SMK Tumpat ,panel hakim yang adil lagi menegakkan kebenaran, para pentadbir, penjaga masa yang setia menjaga waktu, guru-guru dan rakan-rakan. Assalamualaikum dan selamat sejahtera saya ucapkan. Tajuk syarahan yang akan saya sampaikan pada hari ini ialah “Peranan Ibu Bapa untuk Menangani Masalah Sosial dalam Kalangan Remaja”.
Hadirin yang dihormati,
  Dalam meniti arus kemodenan ini, pelbagai  masalah sosial yang mampu meranapkan peradaban bangsa dan negara melanda golongan remaja. Akhir-akhir ini, berita mengenai golongan remaja terjebak dalam gejala sosial kerap terpampang di dada akhbar. Masalah sosial adalah suatu ketidaksesuaian antara unsur-unsur kebudayaan sesebuah masyarakat  yang membahayakan kehidupan kelompok sosial sesebuah komuniti. Sebagai contoh, gejala sosial tersebut ialah vandalisme, rogol, sumbang mahram, ketagihan dadah dan merempit.  Keutuhan institusi keluarga begitu penting dalam usaha menangani gejala sosial sehingga institusi keluarga diibaratkan seperti batu bata dalam sesebuah bangunan. Oleh itu, ibu bapa perlulah menyahut cabaran bagi menghalang buah hati pengarang jantung mereka daripada terjebak dalam kebejatan sosial. Kepentingan tanggungjawab keluarga ini bersesuaian dengan kata-kata tokoh terkenal Eropah, Dale Camagie “Satu sebab kegagalan adalah kerana kurang memberi perhatian.” Persoalannya,apakah peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial dalam kalangan anak-anak mereka?
                   Sebenarnya, peranan dominan yang perlu dilaksanakan oleh ibu bapa di luar sana dalam menangani kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak ialah ibu bapa haruslah memberikan didikan agama yang seteguh tembok China dan seindah Taj Mahal kepada anak-anak. Didikan agama merupakan panduan hidup seorang mukmin selain merupakan indikator yang sangat penting serta mampu membantu seseorang individu menangkis segala anasir negatif yang mendorong ke arah kebinasaan diri. Oleh hal yang demikian, ibu bapa hendaklah menerapkan asas-asas ketakwaan dalam diri anak-anak sejak kecil kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Anak-anak pada hari ini terlalu mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif yang mendorong ke arah keburukan. Nabi Muhammad saw pernah bersabda yang membawa maksud  anak-anak diibaratkan seperti kain putih dan ibu bapanyalah  yang bertanggungjawab mencorakkannya. Secara tersirat baginda menegaskan bahawa ibu bapa hendaklah mengawal ton-ton warna yang ingin diwarnakan di atas kain putih yang bersih itu sama ada seindah warna pelangi atau semalap masa depannya. Memetik kata-kata pakar motivasi, Dato’ Dr. Fadhilah Kamsah, beliau mengatakan bahawa ibu bapa haruslah mencurahkan ilmu agama kepada putera puteri mereka kerana ilmu agama merupakan benteng kepada mereka dalam menempuh arus modenisasi ini. Dengan kata lain, ibu bapa seyogianya perlu mendedahkan anak-anak dengan nilai murni berkaitan dengan cara hidup Islam yang sebenar, contohilah ketokohan Luqmanul Hakim yang berjaya mendidik  anak-anaknya berorientasikan al-Quran dan al-Hadis. Sekiranya ibu bapa mengabaikan tanggungjawab mereka kerana terlalu sibuk mengejar harta dunia, maka tidak menjadi perkara pelik jika anak-anak hanyut dalam hiburan dan keindahan dunia yang penuh kepalsuan ini. Tegasnya, mendidik anak-anak dengan ilmu agama sejak dari kecil lagi mampu memberi impak positif yang besar dalam melahirkan generasi yang bukan sahaja berfikiran kelas minda pertama malah mempunyai akhlak yang mulia.
Hadirin yang saya hormati,
          Lensa perbincangan ini, saya lebarkan pula ke arah peranan ibu bapa dalam menangani gejala sosial yang semakin menular dalam kalangan remaja adalah dengan sentiasa memantau dan mengawal pergerakan remaja semasa mereka berada di luar kawasan rumah. Apabila ibu bapa memantau pergerakan remaja,sudah tentu ibu bapa akan dapat mengetahui aktiviti yang sering anak mereka lakukan di sekolah mahupun di luar sekolah selain mengetahui dengan siapa mereka berkawan. Ibu bapa boleh bertanya dan berhubung dengan guru-guru atau individu-individu yang berkaitan untuk mengetahui aktiviti-aktiviti yang dilakukan oleh anak-anak mereka. Sebagai contoh, ibu bapa boleh bertanya khabar dengan guru-guru tentang keadaan, aktiviti dan pretasi remaja untuk mengetahui perkembangan remaja. Keprihatinan yang dtonjolkan oleh ibu bapa dapat mengelakkan anak-anak yang baru berumur setahun jagung, berdarah setampuk pinang terjebak dengan aktiviti yang tidak bermoral seperti vandalisme, ponteng sekolah, pergaulan bebas dan lain-lain.Pergaulan anak-anak dengan rakan sebaya memberikan pengaruh yang besar dalam kehidupan harian anak-anak . Kajian saintifik telah menyatakan bahawa anak-anak terutamanya remaja mudah terpengaruh dengan rakan sebaya. Rasullullah s.a.w pernah bersabda bahawa " Pilihlah rakan yang betul. Sekiranya kamu bersahabat dengan seorang penjual minyak wangi nescaya bauan kasturinya akan terkena pada dirimu, tetapi  apabila kamu bersahabat dengan seorang tukang besi nescaya bau tengik akan terpalit juga kepada dirimu”. Sekiranya ibu bapa tidak memantau dan mengawal pergerakan remaja di luar ataupun di dalam rumah, sudah tentu mereka akan mudah terlibat dengan masalah sosial yang boleh menghancurkan masa depan remaja selain menjatuhkan maruah keluarga mereka. Pada masa itu, ibu bapa tidak boleh lagi membaiki kesilapan mereka kerana nasi sudah menjadi bubur.  Memetik kata-kata Wahab Munabin “ Akhlak yang buruk diibaratkan seperti tembikar yang pecah, tidak dapat dilekatkan kembali dan tidak dapat dikembalikan menjadi tanah”.Jelaslah bahawa, ibu bapa perlulah memantau dan mengawal setiap pergerakan remaja agar mereka tidak tersalah memilih jalan dalam meniti arus kehidupan mereka yang masih panjang.
Warga dewan yang dikasihi,
                       Titik fokus syarahan saya pada hari ini akan dialihkan pula kepada konteks keberkesanan ibu bapa menggunakan media sosial sebagai medium baharu untuk mendidik anak-anak sejajar dengan abad ke-21 yang merupakan zaman “IT” iaitu ‘Information Technology’ atau yang bermaksud teknologi informasi.  Kita memang tidak boleh menafikan bahawa pada tahun 2017 ini , masyarakat kita sudah mengenali pelbagai jenis teknologi canggih yang hanya bermula dengan telefon setebal hampir 10 inci tetapi  sekarang terdapat berjuta jenis telefon yang senipis seperti kulit bawang. Oleh hal yang demikian, ibu bapa semestinya merebut peluang keemasan ini untuk menggunakan media sosial dalam menerapkan nilai-nilai murni serta ilmu pengetahuan supaya mereka tidak mudah terpengaruh dengan tipu helah dunia kini kerana peluang tidak datang bergolek dan tidak akan datang  kepada orang yang tidak pernah berusaha. Bersesuaian dengan kata-kata tokoh terkenal Eropah iaitu Charles Cahier yang pernah mengungkapkan bahawa “Kejayaan tidak datang kepada orang yang leka”. Sebagai contoh, ibu bapa boleh menyarankan anak-anak mereka supaya menggunakan aplikasi yang berunsurkan pembelajaran dan penuh dengan ilmu pengetahuan serta dilengkapi dengan pelbagai permainan video yang menarik agar mereka tidak mudah berasa bosan. Melalui aktiviti sebegini anak-anak juga tidak membuang masa mereka malah dapat menambahkan ilmu pengetahuan bak kata pepatah sambil menyelam minum air. Pada era langit terbuka ini, semua orang berlumba-lumba untuk maju dan berada di hadapan berbanding dengan orang lain. Sebagai ibu bapa, adakah kita sanggup melihat anak-anak kita ditindas dan dibiarkan hanyut seperti kapal Titanic di lautan Pasifik tanpa sebarang bantuan hanya terkontang-kanting dibadai arus permodenan yang semakin mencabar ini? Seandainya, ibu bapa bersikap masih acuh tidak acuh seperti melepaskan batuk di tangga maka wawasan negara untuk melihat generasi muda bebas daripada kemelut ini hanyalah menjadi mimpi dan angan-angan Mat jenin. Pendek kata, ibu bapa perlu bertindak proaktif dan pragmatik seperti menggunakan laman sesawang sebagai medium pendidikan yang baru dalam usaha mencantas masalah sosial yang semakin menular seperti cendawan yang tumbuh selepas hujan.
                        Rahmohan Ghandi pernah berkata, "Keruntuhan keluarga telah melahirkan generasi yang lemah." Kata-kata hikmat ini jelas menekankan kepentingan sesebuah institusi keluarga dalam menghasilkan individu yang cemerlang. Mengapakah hal ini berlaku?  Di manakah kebenaran bagi pernyataan ini?  Kasih sayang, terutama sekali daripada ibu bapa, akan menyebabkan anak-anak berasa bahawa dirinya dihargai. Anak-anak perlu sedar bahawa mereka merupakan aset yang berharga, bukan sahaja kepada keluarga mereka sendiri malahan kepada agama, bangsa dan negara. Apabila mereka menyedari tentang hakikat ini, mereka akan berusaha ke arah merealisasikan idea itu. Hal ini akan memberikan hala tuju yang jelas kepada anak-anak sekali gus menghalang mereka daripada terjebak ke dalam aktiviti yang tidak berfaedah yang akan menjadi batu pemberat bagi mereka untuk mencapai kecemerlangan diri.  Selain itu, apabila mereka berasa dihargai mereka akan menjadi lebih berkeyakinan tinggi dan rasa hormat kepada diri sendiri akan tertanam di dalam diri mereka.  Keyakinan diri memainkan peranan yang konkrit dalam menghasilkan generasi yang madani. Hal ini demikian kerana, kecemerlangan tidak hanya tertakluk kepada kejayaan dari segi akademik sahaja malahan dari segi sosial dan psikologi. Mereka juga tidak akan mengalami kesukaran ketika ditemu duga bagi tawaran kerja dan sebagainya. Seperti yang masyarakat sedia maklum, pelajar-pelajar pintar berbondong-bondong membanjiri institusi pengajian tinggi pada zaman kecanggihan teknologi maklumat. Namun begitu, masih ramai yang kekok untuk bercakap di hadapan khalayak. Anak-anak yang penuh dengan keyakinan diri akan cemerlang dalam kehidupan mereka selepas zaman persekolahan. Di samping itu, kepercayaan yang tinggi oleh anak-anak kepada ibu bapa juga akan terhasil daripada curahan kasih sayang yang mencukupi oleh ibu bapa. Hubungan erat yang terjalin akan menyebabkan anak-anak berasa yakin untuk berkongsi masalah dengan ibu bapa dan tidak akan mencari wahana lain bagi meluahkan perasaan mereka. Wahana yang diragui boleh menyuntik idealogi songsang dalam minda anak-anak sekali gus menghalang kecemerlangan mereka dari segi sahsiah.  Tegasnya, ibu bapa haruslah memberikan kasih sayang yang secukupnya kepada anak-anak bagi memastikan kecemerlangan mereka kelak sekali gus melahirkan generasi intelek yang bakal menerajui negara, bangsa dan agama dengan penuh dedikasi dan kredibiliti.
 Saudara sekalian, 
                        Saya teruskan syarahan ini dengan membawa polemik yang lebih menarik iaitu mengupas peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak supaya terhindar daripada gejala sosial ialah ibu bapa perlu menjadi suri teladan yang baik terhadap anak-anak. Hal ini demikian kerana ibu bapa seyogianya membetulkan kekhilafan diri sebelum membetulkan anak-anak agar tidak seperti ketam mengajar anaknya berjalan lurus sedangkan dirinya berjalan senget. Anak-anak yang masih kecil atau kebiasaannya remaja sememangnya masih lagi jahil dan tidak mengenali dunia mereka yang sebenar, kejahilan inilah yang menyebabkan mereka mudah terpengaruh dan terikut-ikut untuk melakukan sesuatu perbuatan tanpa berfikir sejenak atau kesannya kelak. Biasanya remaja lebih mementingkan hiburan dan bertindak sesuka hati kerana menurut kajian ahli psikologi hedonisme merupakan sifat semula jadi remaja. Oleh itu, ibu bapa perlu menunjukkan sikap dan tingkah laku yang baik di hadapan anak-anak mereka, bak kata pepatah bagaimana rupa begitulah bayangnya kerana anak-anak akan mengikut perbuatan ibu bapa mereka. Sebagai contoh, dalam kehidupan seharian anak-anak ,ibu bapa hendaklah menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan anak-anak mereka seperti budaya menghormati warga yang lebih berusia, memberi salam kepada jiran, menjauhi sikap biadap dan mengamalkan budi bahasa yang sempurna . Kita sudah sedia maklum bahawa kadang-kadang nasihat dan teguran oleh ibu bapa diibaratkan seperti mencurahkan air ke daun keladi tetapi jika ibu bapa tekad dan sentiasa menunjukkan sikap yang baik di hadapan mereka sudah pasti lama- kelamaan anak-anak mereka mampu menjadi seorang yang bukan sahaja cemerlang dari aspek akademik tetapi sahsiah juga. William Siegel pernah berkata,”Manusia tidak merancang untuk gagal tetapi mereka gagal untuk merancang”. Jadi, ibu bapa perlulah  sentiasa merancang aktiviti seharian anak-anak mereka dan beringat-ingat dalam setiap hal yang mereka lakukan kerana anak-anak mereka sentiasa memerhati dan mencontohi perilaku mereka. Seandainya usaha ibu bapa sebagai idola yang baik kepada anak-anak tercapai, sudah pasti harapan mereka untuk melihat permata hati mereka berjaya di dunia dan di akhirat turut menjadi kenyataan. Nyatalah bahawa, usaha ibu bapa untuk menangani masalah kebejatan sosial dalam kalangan anak-anak dapat diatasi jika ibu bapa menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak mereka sekali gus dapat melahirkan remaja yang mempunyai sahsiah dan pekerti yang cemerlang.
Warga dewan yang saya hormati,      
         Saya akhiri syarahan saya pada hari ini dengan merumuskan semula bahawa ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengekang gejala sosial yang semakin serius dalam kalangan anak-anak. Oleh itu, ibu bapa khususnya  perlulah bijak memahami tingkah laku anak-anak yang semakin agresif selain kerjasama daripada semua pihak amat ditagih dalam menyelesaikan masalah sosial. Ibu bapa sebagai ketua keluarga perlulah bertanggungjawab dan mengambil berat terhadap anak-anak tetapi tidak terlalu memanjakan mereka dengan kemewahan dunia seperti menatang minyak yang penuh. Sebaliknya, ibu bapa mestilah bertindak dengan lebih tegas kerana sayangkan isteri tinggal-tinggalkan, sayangkan anak tangan-tangankan. Sebagai remaja, saya berharap agar kita perlu mempunyai keinsafan dan kesedaran yang tinggi  serta bijak menghargai segala pengorbanan yang telah disumbangkan oleh ibu bapa. Jika ibu bapa masih leka dan mengabaikan tanggungjawab mereka maka janganlah melatah sekiranya anak-anak mereka pada suatu hari nanti juga terjebak dengan kemelutan sosial ini. Bersesuaian dengan kata-kata nasionalis India iaitu Mahatma Gandhi “Berfikirlah untuk hari ini namun bertindaklah pada hari esok.” Sudah terang lagi bersuluh, masalah gejala sosial ini perlu ditangani daripada peringkat akar umbi agar tidak menjadi barah dalam masyarakat sehingga menjejaskan nama negara di persada antarabangsa. Sebelum saya mengakhiri syarahan saya pada hari ini, izinkan saya berpantun.
Beras ditanak membawa pelita,
Bersimpuh sopan mencari geliga,
Kasihkan anak bersengkang mata,
Sanggup berkorban jiwa dan raga.


KUMPULAN SEMARAK JIWA 5ST1 2017

Farrisya
Izzati
Fatin
Aida
Naemah