pengunjung

Tuesday, March 29, 2011

Syair Pemberontakan Patani


MAKSUD


Rangkap 1:

Laksamana telah dititahkan oleh betara ke negeri Patani dengan segera untuk pergi
mendapatkan panji-panji atau perintah daripada Raja Senggora tentang peraturan dan
hukuman.

Rangkap 2:

Mereka yang dikenakan hukuman harus menerimanya. Mereka boleh memohon agar
diberikan pengampunan daripada pegawai yang berkenaan.

Rangkap 3:

Setelah mendengar titah betara, laksamana tidak lagi risau kerana negeri yang
ditinggalkannya akan tetap terpelihara daripada huru-hara.

Rangkap 4:

Pada masa yang sama bonda Duli Mahkota Indera iaitu emak saudara laksamana, sudah
lama gering dan laksamana tidak sanggup meninggalkan baginda.


Rangkap 5:

Walaupun dengan berat hati, laksamana tetap menjunjung perintah betara.

Rangkap 6:

Laksamana tidak dapat berkata apa-apa kerana dia terpaksa menurut perintah dan
laksamana menyerahkan segala-galanya pada Allah.

Rangkap 7: Harapan laksamana agar dapat mendaulatkan nama baginda demi keamanan
negara walaupun laksamana terpaksa berkorban.

Rangkap 8:

Dalam menjalankan tugas, laksamana tetap tidak melupakan bonda yang gering meskipun
dalam hati kecilnya kemungkinan tidak dapat bertemu dengan bondanya.

Rangkap 9:

Sudah tersurat bahawa masalah yang dihadapi dalam negeri lebih berat berbanding dengan
masalah bondanya yang sakit seorang diri kerana melibatkan rakyat jelata.

Rangkap 10:
Maka laksamana melaksanakan titah seri betara dengan segera bagi mendapat panji-
panji/perintah Raja Senggora.


TEMA

Syair ini mengemukakan tema tentang tanggungjawab seorang laksamana
melaksanakan perintah raja.

PERSOALAN

1. Persoalan kesetiaan terhadap pemimpin.
2. Persoalan mematuhi arahan pemerintah.
3. Persoalan kepentingan negara menjadi keutamaan bagi setiap rakyat.
4. Persoalan keamanan negara tanggungjawab kita.



BENTUK

1. Rima akhir aaaa
2. Syair ini mengandungi sepuluh rangkap.
3. Setiap rangkap mengandungi empat baris.
4. Jumlah perkataan antara tiga hingga lima patah kata setiap baris.
5. Jumlah suku kata antara sembilan hingga tiga belas suku kata setiap baris.


GAYA BAHASA

1. Diksi (Bahasa Melayu Klasik)
Contoh: masyghul, dura, pegari, peri dan sebagainya.

2. Asonansi
Contoh: Laksamana dititahkan betara (pengulangan vokal ’a’)

3. Aliterasi
Contoh: Barang yang hendak dihukumkan (pengulangan konsonan ’n’)

4. Kata ganda
Contoh: Huru-hara, terkata-kata, bersegera-segera.



NILAI

1. Nilai kesetiaan
Contoh: Setia kepada pemerintah dan negara

2. Nilai amanah
Contoh: Laksamana melaksanakan amanah betara.

3. Nilai cinta akan negara
Contoh: Laksamana sanggup tinggalkan bondanya yang sakit demi negara.

PENGAJARAN

1. Kita hendaklah melaksanakan amanah yang diberikan.
2. Kita haruslah akur dengan arahan pemimpin demi kepentingan negara.
3. Kita perlulah mengutamakan kepentingan negara daripada kepentingan diri.
4. Kita hendaklah setia kepada raja dan negara.
5. Kita janganlah bersedih dengan keputusan yang diambil sekiranya mendatangkan
kebaikan kepada orang lain.



Latihan

1. Berikan tiga pengajaran yang terdapat dalam Syair Pemberontakan Patani.

2. Pada pendapat anda, bagaimanakah caranya untuk menanam semangat cinta akan
negara dalam kalangan remaja?



NOTA DIAMBIL DARIPADA BPK

Wednesday, March 23, 2011

LANGKAH-LANGKAH MENGATASI MASALAH PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Pembangunan tanpa batasan merupakan perubahan kian pesat yang berlaku di negara kita pada alaf globalisasi ini. Namun, kemajuan dalam sektor perindustrian telah dikecapi hari ini sedikit tercalar impak daripada sikap manusia yang tidak bertanggungjawab. Masyarakat yang bersikap seperti enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing tidak mengendahkan kebersihan alam sekitar.Adakah kita ingin membiarkan alam sekitar terjejas semata-mata supaya dapat mengejar kemajuan? Apakah peranan kita sebagai masyarakat untuk menangani masalah ini? Hal ini demikian kerana alam sekitar yang bersih penting dalam kehidupan kita.Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya mensyukuri nikmat pemberian Tuhan. Oleh itu, langkah-langkah yang proaktif perlu diambil untuk memelihara anugerah ciptaan-Nya.

Langkah perdana yang perlu diambil untuk menangani masalah pencemaran alam sekitar ialah mengurangkan penggunaan bahan kimia. Hal ini demikian kerana bahan kimia akan mendatangkan pencemaran kepada alam sekitar selain akan mendatangkan impak dalam jangka masa yang panjang kepada alam sekitar. Apa yang dimaksudkan ialah penggunaan racun serangga dan pendingin hawa merupakan salah satu kesan yang paling ketara dan serius. Akibat daripada penggunaan racun serangga dan pendingin hawa,berlakunya penipisan lapisan ozon dan air bawah tanah oleh kluoroflurokarbon (CFC) yang amat berbahaya kepada masyarakat di jagat raya. Kesannya, masyarakat mudah dihidapi penyakit-penyakit yang berbahaya seperti katarak mata, barah kulit dan sebagainya.Hal ini turut memberi impak kepada ekonomi negara kerana terpaksa mengeluarkan dana yang amat besar bagi menampung kos perbelanjaan hospital. Oleh itu, penggunaan bahan kimia ini perlu dikawal oleh kerajaan dan pihak swasta supaya kita dapat menjaga alam sekitar yang dianugerahi oleh Tuhan. Tegasnya,langkah menangani masalah pencemaran alam sekitar adalah dengan mengurangkan penggunaan bahan kimia.

Selain itu, kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang berkaitan aspek penjagaan kebersihan persekitaran. Hal ini amat signifikan sebagai langkah menjaga alam sekitar kita. Jika kita lihat pada hari ini, berapakah kilang yang telah dibina oleh kerajaan yang mematuhi piawaian kebersihan yang telah ditetapkan?Hanya segelintir sahaja kilang yang mematuhi piawaian kebersihan. Dalam kebanyakan kes, pelepasan asap kilang dan pembuangan sisa toksik ke dalam sungai mahupun ke dalam laut secara terbuka terus berlaku tanpa kawalan. Sikap pengilang ini bagai enau di dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing kerana menyebabkan berlakunya pencemaran air.Hal ini turut menyebabkan kepupusan hidupan akuatik kerana sisa toksik daripada kilang-kilang mengurangkan peratusan oksigen di dalam air. Implikasi daripada tindakan ini, undang-undang harus diperketat lagi oleh pihak berkuasa supaya dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.Jika hal ini tidak dibendung,masyarakat akan mengalami masalah kekurangan air bersih dan sumber protein.Bukan itu sahaja,majoriti masyarakat akan mendapat penyakit yang dikenali sebagai kwashiorkor akibat kekurangan protein.

Bukan itu sahaja, program kitar semula yang diuar-uarkan oleh kerajaan perlu diambil perhatian kerana mampu mempertingkat kesedaran terhadap penjagaan alam sekitar. Sebagai masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya membuka mata akan sahutan kerajaan. Bahan-bahan buangan boleh diproses semula untuk digunakan sekali lagi dan kita boleh mengklasifikasikan bahan-bahan yang tidak diperlukan ke dalam tong-tong kitar semula yang telah disediakan. Sebagai contoh, bahan buangan boleh diproses menjadi baja nutrien bagi menghindarkan pembaziran dan surat khabar boleh juga dijadikan tisu.Keadaan ini dikatakan “sambil menyelam minum air”. Melalui cara ini,sumber-sumber alam seperti pokok yang digunakan bagi mendapatkan bahan mentah untuk memenuhi keperluan asas manusia dapat dikurangkan. Selain itu,negara juga dapat menjimatkan kos bagi mendapatkan keperluan-keperluan manusia sekaligus dapat memelihara kebersihan alam sekitar.Tegasnya, program kitar semula ialah salah satu cara untuk mengatasi pencemaran alam sekitar.

Di samping itu, kebersihan alam sekitar boleh dijaga melalui kempen kesedaran sivik yang berterusan supaya rakyat dan dapat menjaga alam sekitar sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Melalui kempen kesedaran ini, masyarakat diseru untuk menjaga kebersihan alam sekitar. Dengan ini, sedikit sebanyak langkah ini dapat menyedarkan manusia yang lalai tentang kebersihan alam sekitar. Jadi, kempen kesedaran ini akan dapat mencapai matlamatnya sekiranya semua rakyat sedar akan kepentingan alam sekitar seterusnya dapat membendung dan memastikan bahawa kualiti kebersihan alam sekitar senantiasa bersih dan dijaga. Sekiranya masyarakat tidak mengendahkan sahutan kerajaan dan bersikap mementingkan diri sendiri, pastinya negara kita akan tercemar. Tegasnya, kempen kesedaran sivik juga penting dalam usaha untuk mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.

Konklusinya, banyak langkah yang boleh dipraktikkan bagi mengatasi masalah pencemaran alam sekitar.Oleh itu, sikap bagai aur dengan tebing antara rakyat Malaysia dengan kerajaan amat diperlukan dan tentunya akan lebih bermakna agar hasilnya kelak akan memuaskan hati semua orang. Hal ini amat dititikberatkan kerana kebersihan juga merupakan separuh daripada iman. Kebersihan alam sekitar juga amat penting bagi menarik pelancong-pelancong dari seantero dunia dan seterusnya mendorong negara kita ke arah mencapai Wawasan 2020. Bahkan, kita patut menyahut seruan Perdana Menteri Malaysia iaitu Datuk Seri Najib Tun Razak supaya mengembleng tenaga menjaga kebersihan dan keamanan negara Malaysia sinonim dengan slogan negara “Negara Bersih, Rakyat Sihat”.

Tuesday, March 22, 2011

Peranan anda bagi menangani gejala guli dalam kalangan pelajar

Sejak belakangan ini, gejala buli dalam kalangan pelajar semakin serius. Masalah ini perlu ditangani dalam usaha melahirkan pelajar yang mempunyai peribadi mulia dan berwawasan.

Sebagai remaja yang prihatin, jelaskan peranan anda bagi menangani gejala tersebut.

Isi 1 : Saya akan melaporkan gejala buli kepada guru disiplin sekolah

Peranan perdana yang akan saya ambil bagi menangani masalah buli ini ialah saya akan melaporkan gejala ini kepada guru disiplin sekolah. Hal ini demikian kerana pelajar yang melakukan kesalahan akan berasa takut untuk melakukan perbuatan itu lagi. Jika saya melaporkan perkara ini kepada pihak guru, guru disiplin mengenakan hukuman yang setimpal kepada pembuli.Sebagai contoh, memberi hukuman rotan, gantung sekolah atau dibuang dari sekolah jika pelajar terlibat dalam gejala buli tersebut. Terdapat juga sekolah yang memanggil ibu bapa ke sekolah, kesan daripada tindakan tersebut, pelajar akan berasa malu dan takut untuk melakukan perbuatan buli itu lagi. Seandainya, saya tidak melaporkan gejala buli tersebut kepada guru disiplin, sudah tentu gejala ini akan turut menular dalam kalangan pelajar. Sebelum nasi menjadi bubur, saya haruslah melaporkan kejadian buli yang berlaku kepada guru disiplin supaya gejala ini akan dapatditangani dalam kalangan pelajar dan remaja.

Oleh;

KUMPULAN ARIF FAISAL, HUSNI AMIR, AMIRUL ADHAM,

TUAN MUHDFARIS, FAKHRULIQRAM, WAN MUHAMMAD ZIKRI.

5ST3 2011

Peranan perdana yang saya akan lakukan bagi menangani gejala buli dalam kalangan remaja ialah saya akan melaporkan kepada guru disiplin sekolah .Hal ini demikian kerana,guru disiplin sekolah memainkan peranan penting dalam membanteras gejala buli di sekolah di sampng membentuk sahsiah membentuk sahsiah dan disiplin pelajar . Guru disiplin boleh yang sewajarnya kepada si pembuli dengan memberi surat amaran penggantungan sekolah , merotan dan sebagainya.Usaha ini diharapkan janganlah hanya sekadar melepaskan batuk di tangga.Seandainya saya tidak melaporkan gejala buli ini kepada guru disiplin , maka sudah pastilah gejala buli ini akan terus bermaharajalela di sekolah .Tegasnya,melaporkan gejala buli ini kepada guru disiplin merupakan peranan saya bagi melahirkan pelajar yang peribadi mulia dan berwawasan

Oleh;

KUMPULAN HASNAN 5ST3 2011

Minhaj perdana bagi menangani gejala buli yang serius dalam kalangan pelajar ini ialah ,saya akan melaporkan kes ini kepada guru disiplin .Hal ini demikian kerana ,guru disiplin merupakan pihak utama yang mempunyai kuasa bagi mengambil sebarang tindakan ke atas pelajar yang melakukan kesalahan disiplin di sekolah .Sebagai contoh ,guru disiplin haruslah memberi penekanan terhadap pelajar yang sering melakukan kesalahan disiplin terutamanya gejala buli .Sekiranya guru disiplin tidak memberi komitmen kepada pelajar-pleajar tersebut ,sudah tentu pelajar-pelajar akan mengambil peluang ini untuk melakukan kesalahan yang sama berulang kali .Oleh itu ,sebagai pelajar yang prihatin ,saya akan melaporkan gejala ini kepada guru disiplin sebelum menjadi tokak dan nanah kepada sekolah ,kerana pepatah melayu ada mengatakan 'sediakan payung sebelum hujan' .

KUMPULAN -Hany –Akma –Naim -Aima

5ST3 2011

Peranan perdana yang harus saya mainkan dalam membanteras gejala buli yang semakin serius berlaku dalam kalangan pelajar ialah saya akan melaporkan kejadian buli yang terjadi kepada guru disiplin di sekolah. Hal ini demikian kerana, guru disiplin mempunyai tanggungjawab yang besar dalam membanteras gejala buli yang kian meruncing di sekolah.Terdapat banyak langkah yang boleh dilakukan oleh guru disiplin bagi menangani gejala ini.Sebagai contoh, guru disiplin hendaklah membawa pelajar tersebut kepada pihak kaunseling sekolah supaya pelajar tersebut dapat di bantu dan di bimbing serta tidak melakukan gejala ini secara berterusan. Seandainya saya tidak melaporkan kejadian buli kepada guru disiplin, mungkin ada pelajar yang meninggal dunia seperti yang digempar-gemburkan oleh media massa. Sesungguhnya, sebelum nasi menjadi bubur saya haruslah melaporkan kejadian ini kepada guru disiplin di sekolah.

KUMPULAN FARAHANA 5ST3 2011


Minhaj perdana yang perlu saya lakukan bagi mengatasi gejala buli dalam kalangan pelajar ialah saya akn melaporkan gejala buli kepada guru disiplin. Hal ini dikatakan demikian kerana pihak sekolah seperti guru disiplin, kaunselor dan penolong kanan hal ehwal murid memainkan peranan penting dalam menangani gejala buli dalam kalangan pelajar. Selain itu, saya sebagai pelajar seharusnya menjadi mata dan telinga kepada pihak sekolah. Sekiranya saya ternampak perbuatan ini di sekolah saya tidak akan mengambil sikap tunggu dan lihat sebaliknya saya akan bergegas ke bilik disiplin untuk melaporkan kejadian buli tersebut. Selain itu,saya juga tidak akan pilih kasih dalam masalah ini. Sebagai contoh sekiranya rakan rapat saya membuli rakan yang lain saya tidak akan teragak-agak untuk melaporkanya kepada guru disiplin. Seandaianya, saya tidak melaporkan gejala buli kepada guru disiplin sudah pasti gejala buli dalam kalangan pelajar sukar untuk ditangani. Sudah terang lagi bersuluh, bahawa tanggungjawab saya sebagai pelajar yang prihatin iaitu dengan melaporkan gejala buli dalam kalangan pelajar kepada guru disiplin amat membantu pihak sekolah dalam mengekang hal ini.


nama ahli kumpulan 5st3:
nurul fatanah bt othman
nurul fatihah bt hashim
nur farah athirah bt rostafli
nur anis amalina bt muhamad khir
nur amirah bt mohd yusoff

Langkah-langkah Mengatasi Kegiatan Jenayah dalam Kalangan Remaja

Remaja sering kali dikaitkan dengan gejala jenayah yang banyak menimbulkan masalah dalam kehidupan masa kini. Vandalisme, gengsterisme dan buli merupakan jenayah yang acapkali didengar melalui media elektronik, media cetak mahupun percakapan orang ramai. Gejala ini sememangnya menimbulkan pelbagai masalah negatif dan secara langsung mempengaruhi jiwa remaja yang mudah memberontak dan ingin mencuba sesuatu yang mencabar. Mungkinkah ini salah satu cara pergaulan remaja sekarang? Tegasnya, gejala jenayah ini sememangnya perlu dibanteras dengan segera agar tidak leluasa seterusnya pelbagai tindakan perlu diambil untuk mengekang gejala ini daripada kehidupan seharian.

Usaha yang paling utama dan efisien untuk mengatasi masalah jenayah dalam kalangan remaja di negara ini adalah dengan cara ibu bapa perlu bijak mendidik anak-anak mereka agar tidak terjerumus dalam kebejatan sosial seperti gejala jenayah ini. “Melentur buluh biarlah dari rebungnya” merupakan satu ungkapan yang perlu diambil iktibar oleh setiap ibu bapa dalam mengajar dan mengatur kehidupan anak-anak mereka. Ibu bapa perlu memberi pendidikan agama sejak kecil supaya anak-anak menyedari setiap perkara yang dilakukan sama ada salah atau betul. Janganlah sampai nasi sudah menjadi bubur, barulah ibu bapa kelam kabut untuk mengambil tindakan yang sememangnya amat susah diterima oleh para remaja yang mempunyai pendirian yang tersendiri. Seterusnya, ibu bapa pula tidak seharusnya bersikap lepas tangan dalam mendidik anak-anak disebabkan kesibukan bekerja dan melepaskan tanggungjawab kepada pembantu rumah. Tegasnya, ibu bapa harus memberi perhatian yang secukupnya kepada remaja dan anak-anak supaya mereka menganggap ibu bapa sering menjadi tempat tinggal dan tempat mengadu masalah.

Selain ini, antara inisiatif yang dapat kita ambil sebagai langkah mencegah jenayah dalam kalangan remaja yang merupakan isu terpenting di negara ini ialah pihak berkuasa perlu mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Konsep ini merangkumi suatu skop yang sangat besar untuk dibincangkan. Pelbagai langkah telah dilaksanakan dalam proses mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat. Antara langkah untuk mewujudkan konsep bandar dan pekan selamat adalah dengan pengawalan rapi oleh pihak-pihak tertentu seperti Rela, Rukun Tetangga, polis dan sebagainya dalam usaha memastikan kawasan tersebut bebas daripada kes-kes kecurian, rompakan, rogol, ragut dan sebagainya. Dengan pengawalan daripada pasukan-pasukan tersebut, sekurang-kurangnya dapat menakutkan remaja yang ingin melakukan jenayah. Kamera-kamera litar tertutup boleh dipasang sebagai langkah berjaga-jaga. Medium ini dapat menjadi bukti apabila sesuatu kes jenayah berlaku di kawasan tersebut. Sekiranya konsep bandar dan pekan selamat diwujudkan, nescaya terdetik rasa was-was kepada si penjenayah daripada melakukan aktivitinya di kawasan tersebut. Dengan cara ini, konsep bandar dan pekan selamat jelas sekali merupakan usaha yang efektif bagi mencegah jenayah dalam kalangan remaja.

Seterusnya, pengenalan semula matapelajaran Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) kepada pelajar sekolah rendah dan menengah juga merupakan salah satu cara untuk menbanteras kes jenayah dalam kalangan remaja. Seandainya, Pendidikan Sivik dan Kewarganegaraan (PSK) menjadi pelajaran teras sudah pasti masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Matapelajaran PSK ini merupakan satu langkah kearah mambentuk keperibadian para remaja yang mulia dan juga berperanan memupuk nilai-nilai murni dalam diri setiap remaja. Melalui pengenalan semula matapelajaran ini, seseorang individu berupaya menyelesaikan masalah yang dihadapinya tanpa unsur-unsur keganasan, memahami kepelbagaian agama, budaya serta mampu menyumbang kepada pembangunan negara. Sudah terang lagi bersuluh, kes-kes jenayah boleh ditangani dengan adanya pengenalan semula matapelajaran khas yang boleh dipelajari oleh para remaja.

Di samping itu, kempen-kempen pencegahan jenayah dalam kalangan remaja juga boleh diadakan di setiap sekolah. Pada hari ini banyak kempen yang diadakan di sekolah seperti cendawan tumbuh selepas hujan untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan remaja terutamanya peringkat sekolah rendah lagi. Hal ini demikian kerana para pelajar pada tahap ini kurang terdedah kepada kegiatan-kegiatan jenayah. Seandainya para pelajar diberi pendedahan awal tentang kes-kes jenayah, sudah tentu masalah jenayah dalam kalangan remaja dapat diatasi. Dengan ini, mereka akan berasa takut untuk melakukan jenayah setelah terlibat dalam kempen-kempen kesedaran yang diadakan di sekolah. Antara kempen pencegahan jenayah yang sering diadakan di sekolah adalah seperti tayangan video, pameran berunsurkan aktiviti jenayah dan mewajibkan jemputan kepada pegawai polis untuk hadir memberi ucapan mengenai kegiatan jenayah, kesan dan hukuman kepada kepada pesalah. Tegasnya, kempen kesedaran sepatutnya diadakan untuk meningkatkan tahap kesedaran para remaja yang sejak kebelakangan ini amat membimbangkan.

Penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan antara modus operandi untuk menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja yang semakin leluasa. Kelab Pencegah Jenayah (KPJ) dan Skim Lencana Antidadah (SLAD) merupakan antara kelab bersifat antijenayah yang ditubuhkan di sekolah. Kelab-kelab seperti ini bukan sahaja mendedahkan keburukan melakukan jenayah malahan menggalakkan remaja untuk sentiasa melakukan perkara-perkara yang berunsurkan sifat mahmudah seperti tolong-menolong dan ikhlas dalam melakukan sesuatu pekerjaan. Kelab bersifat antijenayah sosial didefinisikan sebagai pertubuhan yang mencegah sebarang penjenayahan daripada berlaku dan menjadi lebih parah. Hal ini bersesuaian dengan pepatah, “mencegah lebih baik daripada mengubat”. Sekiranya langkah ini tidak dilaksanakan, sudah pasti kegiatan jenayah dalan kalangan remaja akan semakin leluasa. Oleh itu, kelab-kelab bersifat antijenayah sosial haruslah lebih giat dilaksanakan bagi membanteras gejala jenayah di negara ini. Tegasnya, penubuhan kelab bersifat antijenayah sosial di sekolah merupakan salah satu langkah prakmatik dan dogmatik dalam menangani masalah jenayah dalam kalangan remaja.

Konklusinya, kegiatan jenayah dalam kalangan remaja mendatangkan impak negatif kepada diri, masyarakat dan negara malah turut menjadi virus epidimik yang akan menjatuhkan imej negara di mata seantero dunia. Oleh sebab itu, begitu peri vitalnya setiap orang menyedari peranan mereka dalam membanteras jenayah dalam kalangan remaja. Sebelum nasi menjadi bubur, masyarakat perlulah menggembleng tenaga untuk membanteras jenayah yang semakin membarah di Malaysia. Hal ini sekali gus dapat meminimumkan statistik jenayah sosial dalam kalangan remaja seterusnya negara Malaysia dapat melahirkan remaja yang bersahsiah tinggi dan berbudi pekerti.

Disediakan oleh:

1. Wan Nor Munirah Binti Wan Ahmad

2. Nur Syahzanan Binti Alwi

3. Siti Nur Fasihah Binti Mohd. Yusoff

4. Hanisah Binti Ahmad Lutfi

5. Alya Elyanis Binti Shamsudin

Monday, March 7, 2011

TEMA KARANGAN TINGKATAN 4 DAN TINGKATAN 5


TEMA KARANGAN TING. 4

Unit 1 : SENARIO MASYARAKAT KITA

Masyarakat Malaysia Alaf Baru

Tradisi Kejiranan Dalam Masyarakat

Unit 2 : AMBANG REMAJA

Remaja dan Cabaran

Remaja dan Keluarga

Disiplin Remaja dan Kokurikulum


Unit 3 : DUNIA SEMAKIN CANGGIH

Kad Elektronik

Budaya Teknologi Maklumat dan Telekomunikasi

E-mel dan anda

Unit 4 : KERANAMU Malaysia

Patriotisme

Malaysia Alaf Baru

Pengorbananku

Unit 5 : MELESTARIKAN ALAM SEKITAR

Pendidikan Alam Sekitar

Kualiti Udara

Pencemaran Sungai Kita

Unit 6 : RIADAH

Hobi, Sukan dan Rekreasi

Cabaran di Puncak Kinabalu

Hobi dan Cabarannya

Unit 7 : GENERASI KITA

Wawasan Generasi Kita

Patriotisme Generasi Muda

Generasi Pelapis

Unit 8 : GAYA HIDUP SIHAT

Amalan Gaya Hidup Sihat

Remaja dan Kesihatan

Obesiti dan Pencegahannya


Unit 9 : KERJAYA

Minggu Kerjaya

Cita-cita dan Kerjaya

Surat Permohonan

Unit 10 : WARISAN BANGSA

Pemeliharaan dan Pemuliharaan Bangunan Bersejarah

Warisan Seni Bina MelayuTradisional

Pemuliharaan Warisan Sejarah

Unit 11 : INDUSTRI PELANCONGAN MALAYSIA

Kebudayaan dan Pelancongan

Malaysia dan Destinasi Pelancongan

Warna-warna MalaysiaA

TEMA KARANGAN TING. 5

UNIT 1 : RUMAH TERBUKA RAKYAT MALAYSIA
Rumah Terbuka Aidilfitri
Rumah Terbuka Malaysia
Kemanusiaan Sejagat

UNIT 2 : PENDIDIKAN ALAF INI
E-Pendidikan
Pendidikan Maya
Kepentingan Ilmu Dalam Era Globalisasi


UNIT 3 : PENGANGKUTAN ALAF INI
Tren ERL
Kejayaan Negara dalam Perindustrian Tren Laju
Harapan Masa Depan

UNIT 4 : BANDAR PINTAR MALAYSIA
Bandar dalam Taman
Putrajaya Mercu Tanda Kemajuan Negara
Perpaduan Menjamin Keamanan

UNIT 5 : ALAM PEKERJAAN
Kerjaya Masa Depan
Kejayaan dalam kerjaya
Impian, Usaha dan Kejayaan

UNIT 6 : PENDIDIKAN INDUSTRI
Pendidikan Industri di IPT
Pendidikan Industri Teras Pembangunan Negara
Cabaran Pendidikan Industri

UNIT 7 : BIOLEMBANGAN
Kejayaan Melalui Pertanian
Bioteknologi dalam Pertanian
Perkembangan Pertanian

UNIT 8 : PELABURAN
Pelaburan Mengubah Masa Depan
Pelaburan Menerusi Saham Amanah
Pelaburan Dalam Sektor Hartanah

UNIT 9 : TELEPERUBATAN
Kesihatan Sepanjang Hayat
Amalan Pemakanan Seimbang
Cegah Sebelum Parah

UNIT 10 : SUKAN SEANTERO DUNIA
Malaysia Jaguh Sukan SEA
Sukan Mengharumkan Nama Negara
Malaysia Penganjur Sukan Antarabangsa

UNIT 11 : KOMUNIKASI GLOBAL
Mykad Ciptaan Kita
Internet dan Dunia Tanpa Sempadan
Seni Sastera Khazanah Bangsa

UNIT 12 : PELESTARIAN BUDAYA WARISAN
Memelihara Budaya Bangsa
Anugerah Seni Negara
Adat Perkahwinan Masyarakat Malaysia